Berita Hari Ini

SU Agung PKR: Isu calon PM belum dibincang

PKR belum membincangkan isu calon perdana menteri jika usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibentang di sidang Dewan Rakyat Julai ini, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, perkara itu juga belum dibincang antara parti dalam PH dan mesyuarat ini hanya membincangkan mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan sebelum ini.

“Kita tak bincang apa pun lagi. Kerajaan masih kerajaan Tan Sri Muhyiddin…Sampai masanya kita akan komen,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan sama ada PKR akan tetap mencadangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika usul itu dibawa pada sidang akan datang.

Terdahulu, Anggota Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal menghantar usul untuk memulakan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen tetapi ditolak oleh speaker Mohamad Ariff Md Yusof.

Ekoran penolakan itu, Mahathir dilaporkan menghantar satu usul dan kali ini khusus berkenaan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin dan ia diterima oleh Mohamad Ariff.

Bagaimanapun ia tidak dapat dibawa ke sidang Dewan Rakyat semalam. Sidang yang ditetapkan untuk berlangsung sehari itu – atas dasar mengelakkan penularan Covid-19 – dipendekkan lagi kepada satu agenda, iaitu titah diraja Yang di-Pertuan Agong, seterusnya menutup ruang untuk usul itu dibawa.

Bagaimanapun, sidang yang akan bersambung Julai ini akan diadakan selama 25 hari, dan antara yang menarik tumpuan adalah jika usul tersebut sempat dibawa, selepas urusan dan Rang Undang-undang (RUU) kerajaan.

Pada 17 Mei lalu, PH dalam satu kenyataan bersama berkata akan meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat di antara pimpinan utama PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang bersama pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru menegaskan mesyuarat itu masih belum membincangkan isu calon perdana menteri.

“Kita belum bincang sampai ke situ lagi. Apa yang saya boleh sahkan, dua hari lepas, Anwar mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiriLim Guan Eng, Mat Sabu, Tun Mahathir, Shafie Apdal dan saya.

“Kita hanya bincang tentang kenyataan bersama,” katanya lagi.

Ketika krisis politik pada akhir Februari lalu, PH mencalonan Anwar sebagai perdana menteri.

Ia susulan langkah Bersatu untuk keluar daripada PH yang membawa kepada keputusan Mahathir untu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Bersatu kemudian bersama-sama bekas MP PKR yang diketuai Azmin Ali, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti kecil untuk menubuhkan kerajaan PN.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");