Perak Hari Ini

Perak Perkenal Baucer #TravelPerakLah Buat Pelancong Nikmati Potongan Harga

BATU GAJAH- Kerajaan negeri memperkenalkan baucer #TravelPerakLah bagi menggiatkan lagi aktiviti pelancongan di negeri Perak selepas kerajaan persekutuan mengumumkan pembukaan semula sektor pelancongan domestik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, baucer berkenaan adalah untuk para pengunjung atau pelancong mendapatkan potongan harga bagi beberapa hotel terpilih serta produk pelancongan.

Menurut beliau, sebelum pelancongan domestik dibenarkan, pihak kerajaan negeri, Exco pelancongan dan Tourism Perak telah merencanakan cara-cara untuk segera melonjakkan industri pelancongan di mana mereka telah menyediakan pelbagai inisatif untuk menarik semula para pengunjung dan pelancong daripada seluruh negara untuk ke negeri Perak.

“Hari ini kita memperkenalkan baucer #TravelPerakLah untuk mereka mendapatkan potongan harga bagi hotel terpilih serta produk pelancongan di Perak, jadi saya harap dengan pelancaran ini dapat mengingatkan kembali rakan-rakan dari negeri berdekatan untuk kembali melancong dan melawat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan pelancaran kempen promosi Travel Baucer #TravelPerakLah, di Kellie’s Castle, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Sebanyak 25 buah premis penginapan termasuk homestay di bawah Malaysia Hotel Association (MAH) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta 10 produk pelancongan serata daerah di Negeri Perak telahpun dikenalpasti untuk sama turut serta dalam inisiatif ini.

Menurut beliau lagi, Perak merupakan negeri pertama yang memperkenalkan baucer sedemikian sebagai satu inisiatif menarik pelancongan domestik.

Sementara itu kata Nolee Ashilin, jika baucer #TravelPerakLah mendapat sambutan yang menggalakkan, ianya akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Kita ada perancangan untuk melanjutkan kepada fasa kedua sekiranya ia mendapat sambutan yang baik dan tempoh masa juga akan dilebihkan dari tempoh yang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, melalui Pakej Ransangan Ekonomi Sektor Pelancongan yang telah diumumkan baru-baru ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 10.84 juta yang merangkumi projek Naiktaraf Infrastruktur Pelancongan dan juga Strategi Penggalakkan Pelancongan meliputi aktiviti promosi, latihan dan juga pembangunan sumber manusia sebagai tambah nilai kepada bantuan sedia ada.

Sebanyak 1,500 keping baucer berjumlah RM50 untuk premis penginapan termasuk homestay dengan syarat menginap sekurang-kurangnya dua hari satu malam dan nilai minimum perbelanjaan sebanyak RM100 dan baucer berjumlah RM30 bagi destinasi produk pelancongan yang terpilih sekitar Perak.

Tarikh sah laku baucer adalah dari 1 Julai sehingga 30 November 2020 dan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan dan penggunaaan baucer ini adalah untuk tempahan seterusnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");