Perak Hari Ini

Perak Perkenal Program, Skim Latihan Bantu Golongan Yang Kehilangan Pekerjaan

faizal azumu peja

IPOH: Perak memperkenalkan Program Transformasi Tenagakerja bagi membantu dan mendayaupayakan kembali 1,500 individu yang kehilangan pekerjaan di negeri ini akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ianya merupakan tindakan jangka pendek bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup secara berfasa.

Katanya, terdapat tiga kategori skim latihan yang ditetapkan di bawah inisiatif yang dijalankan menerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak itu.

“Katagori pertama ialah ‘Latihan Peralihan Tenagakerja. Skim ini dikhususkan kepada pekerja yang telah diberhentikan dengan fokus latihan adalah kepada kemahiran baharu atau reskilling.

“Ia bagi menempatkan semula peserta ke dalam industri yang menawarkan peluang-peluang pekerjaan.

“Melalui skim ini, peserta akan menjalani latihan jangka pendek selama satu bulan dengan elaun sebanyak RM 500,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, bagi katagori kedua iaitu ‘Skim Pengekalan Tenagakerja’ ianya merupakan langkah mitigasi kerajaan negeri bagi mengekalkan pekerja yang terlibat dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan.

Jelasnya menerusi skim tersebut kerajaan negeri akan menyalurkan kepada RM500 yang akan diperuntukkan kepada pekerja, menerusi majikan dalam tempoh tiga bulan secara bersyarat.

“Peserta skim ini akan menjalani latihan kemahiran tambahan selama tiga bulan bermula Julai ini.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi para majikan malah ia memberi manfaat jangka masa panjang kepada produktiviti syarikat hasil peningkatan kemahiran pekerja yang menyertai skim ini,” katanya.

Bagi katagori ketiga iaitu ‘Latihan Peningkatan Kemahiran’, Menteri Besar berkata skim itu ditawarkan khusus kepada pemandu pelancong dan ‘beach boy’.

Jelasnya inisatif tersebut akan membantu peserta bagi mempelbagaikan kemahiran sedia ada seiring dengan norma baharu pasca COVID-19.

“Setiap peserta akan menerima elaun latihan sebanyak RM800 bagi sepanjang tempoh latihan selama dua bulan bermula 22 Jun ini. Program ini dijalankan secara berperingkat dan menyasarkan 200 peserta,” katanya.

Menurutnya, permohonan bagi kesemua skim latihan tersebut akan mula dibuka pada 15 Jun ini dan ia boleh dibuat secara atas talian mahupun secara manual.

Katanya ia boleh dibuat kepada Jawatankuasa TVET Negeri Perak serta Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Dalam pada itu ujar Ahmad Faizal, Program Transformasi Tenagakerja yang berada di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua itu telah diperuntukan sebanyak RM4.3 juta oleh kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");