Berita Hari Ini
Like

Siasat Individu Hina Jata Negara Bawah Akta Hasutan

June 29, 2020
163 Views
0 Comments
2 minutes read
Siasat Individu Hina Jata Negara Bawah Akta Hasutan

SHAH ALAM – Wanita UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera dan tegas terhadap individu yang mengubah suai lambang jata negara termasuk menyiasat kes itu di bawah Akta Hasutan 1948.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perbuatan itu disifatkan bukan sahaja menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia bahkan negara sendiri.

“Tindakan boleh dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

“Selain itu, Akta Hasutan juga boleh dikenakan kerana ia secara terang-terangan mahu menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, malah ia juga seakan mahu menyebarkan kebencian antara kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini tular di media sosial satu pautan Facebook sebuah syarikat buku yang mengiklankan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong kerana ia mempamerkan logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Berikutan itu, Noraini berkata, Wanita UMNO mendesak pihak kerajaan mengharamkan dan merampas buku itu daripada dijual di mana-mana kedai buku memetik Sinar Harian.

“Sekiranya buku ini berjaya diedarkan, maka Wanita UMNO bimbang akan ada individu yang bakal terpengaruh sekali gus memberi impak negatif kepada generasi muda khususnya.

“Perkara ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan, maka sekali lagi Wanita UMNO mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.