Berita Hari Ini

Tuduhan Muhyiddin Langgar Kuarantin Dengan Ke Luar Negara Rawat Kanser Satu Pembohongan – Pejabat PM

KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menegaskan laporan portal Sarawak Report kononnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar perintah kuarantin di rumah dengan pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kanser, adalah satu pembohongan dan tuduhan berniat jahat.

Menurut Bernama, PMO dalam kenyataan, berkata semasa menjalani perintah kuarantin, Muhyiddin sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah dan semua tugasan rasmi dijalankan dari rumah termasuk sidang video dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Perdana menteri menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari bermula 22 Mei lepas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan selepas seorang pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin, disahkan positif COVID-19.

PMO berkata, justeru itu, dakwaan Sarawak Report bahawa Muhyiddin melanggar perintah kuarantin dengan keluar rumah, apatah lagi terbang ke luar negara adalah tidak berasas dan hanya rekaan penulis.

“Penulis dan portal Sarawak Report perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat yang dinaiki, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa.

“Kegagalan berbuat demikian bermakna laporan yang disiarkan portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej YAB Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

PMO berkata fitnah itu merupakan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Mengenai tahap kesihatan YAB Perdana Menteri, seperti yang telah dilaporkan media sebelum ini, beberapa pakar telahpun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");