Berita Hari Ini
Like

‘Shabery betul, tapi…’

July 14, 2020
240 Views
0 Comments
3 minutes read
‘Shabery betul, tapi…’

Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bekas menteri Umno Ahmad Shabery Cheek bahawa kerajaan sekarang sukar berfungsi.

Bagaimanapun, menurut menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih boleh mengendalikan kerajaan walaupun hanya dengan majoriti kecil.

“Shabery betul. Tapi, kita masih boleh teruskan memerintah biarpun dengan majoriti tipis semalam, masih boleh luluskan rang undang-undang dan masih belum dapatkan majoriti dan kabinet masih boleh berfungsi,” kata anggota parlimen Rembau.

Shabery, anggota Majlis Tertinggi Umno, semalam berkata keputusan pengundian menggugurkan speaker – yang menyaksikan kerajaan menang tipis – menyebabkan kerajaan tidak stabil dan sukar berfungsi.

Katanya, keadaan genting itu menyebabkan anggota kabinet dan wakil rakyat parti kerajaan tidak dapat pergi ke mana-mana bagi mengelakkan kalah dalam satu-satu pengundian di parlimen.

Sementara itu, Khairy ketika ditanya perkara itu menegaskan keperluan untuk pemulihan ekonomi sebelum mempertimbangkan mengadakan pilihan raya.

“Ini adalah penting bagi pemulihan pandemik untuk memastikan tidak akan ada gelombang jangkitan Covid-19 yang baru,”katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy bagaimanpun mengakui keputusan undian semalam sebagai satu cabaran.

“Kehadiran kita harus diwajibkan terutama ketika ada suara untuk memastikan perundangan baru diluluskan.

“Harus memastikan tidak boleh ke tandas semasa pengundian berlangsung.

“Kita telah ditugaskan ketika menteri dan timbalan menteri mesti wajib di dewan.

“Kami mempunyai jadual dan sudah susun. Kami bersedia untuk ini,” katanya.

Khairy juga berkata bagaimanapun bagi jangka masa panjang mandat yang lebih kuat diperlukan.

“Ini kerana mandat yang lebih kuat untuk ekonomi diperlukan untuk memerintah.

“Kita perlu fokus pada pemulihan segera dan mempersiapkan belanjawan pada bulan November dan RMK12 pada Januari.

“Tetapi dalam jangka masa panjang memerlukan mandat yang lebih kuat,” katanya.

Muhyiddin semalam mengemukakan usul untuk menggantikan bekas hakim mahkamah tinggi, Mohamad Ariff Md Yusof, sebagai speaker Dewan Rakyat dengan seorang peguam dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun.

Ia dianggap ujian pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai perdana menteri kesan daripada Langkah Sheraton yang diambilnya bersama sekumpulan pemimpin kanan PKR.

Sebelum ini umum membuat andaian Muhyiddin hanya mendapat sokongan tipis namun tidak dibuktikan di mana-mana premis sehinggalah undian menggantikan Mohamad Ariff semalam berlangsung.

Dalam undian tersebut, kerajaan Perikatan Nasional memperoleh 111 undi, termasuk daripada Muhyiddin sendiri, manakala dibantah 109 undi daripada pembangkang.

Anggota Parlimen Batu Pahat – seorang daripada pemimpin PKR yang berpaling tadah sebelum ini – tidak mengundi kerana mempengerusikan persidangan.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr Maximus Johnity Ongkili (PN-Kota Marudu), tidak hadir kerana bercuti sakit.

Azhar kemudian dilantik sebagai speaker dengan kelebihan dua undi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.