Berita Hari Ini

Belum Ada Tarikh Buka Pintu Sempadan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bersedia membuka pintu sempadan negara berikutan keadaan pandemik Covid-19 masih berleluasa di seluruh dunia.

Harian Metro melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini kerajaan kekal dengan keputusan tidak membenarkan warga asing masuk ke negara ini kecuali kategori tertentu.

“Kita kena lihat negara tertentu yang nak datang (Malaysia), kalau negara (mereka) berisiko tinggi tentu saja kita tak benarkan, selain melihat keadaan di negara (Malaysia) sendiri, kalau tiada isu lagi mungkin boleh longgarkan.

“Tapi setakat ini di negara luar pun serius (jangkitan Covid-19), malah negara kita pun masih PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), jadi kita kekalkan tutup pintu sempadan negara,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan Malaysia mempunyai tempoh tertentu untuk menutup pintu sempadan seperti keputusan Thailand tidak akan membuka pintu sempadan sehingga tahun depan.

Kerajaan Thailand mengambil langkah berhati-hati dalam isu pembukaan sempadan bagi sektor pelancongan dan sempadan negara itu tidak akan dibuka sehingga 2021.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan kerajaan mengenai perkara itu.

“Kita tidak menetapkan bila tarikh nak buka (pintu sempadan), kita akan tengok dari segi kes yang berlaku di negara ini dan kes di negara lain.

“Kalau seluruh dunia (diisytiharkan) hijau (bebas Covid-19) mungkin kita boleh buka, tapi tak ada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");