Berita Hari Ini

Polis Serbu Premis Barang Lusuh Miliki Kabel TNB Yang Dicuri

KLANG: Polis menyerbu sebuah premis perniagaan barang lusuh kerana disyaki membeli dan menyimpan kabel aluminium Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dicuri di Jalan Haji Tarmadi, Kampung Rantau Panjang di sini, semalam.

BH Online melaporkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata susulan itu, polis menahan dua warga tempatan dan empat warga asing membabitkan pemilik dan pekerja di premis berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 2.50 petang semalam polis membuat serbuan dan pemeriksaan mendapati premis terbabit menyimpan kabel aluminium dan kepingan aluminum dipercayai milik TNB.

“Wakil TNB yang dipanggil mengesahkan premis itu bukan premis yang diiktiraf untuk pelupusan barang TNB dan dipercayai diperoleh secara tidak sah.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Myanmar yang berumur lingkungan 20-an hingga 60-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas kabel yang dicuri, sebuah kenderaan serta beberapa barangan lain bernilai kira-kira RM50,000.

“Polis merampas 244 batang potongan kabel aluminium pelbagai warna dan ukuran, dua longgok potongan kabel aluminium pelbagai warna dan ukuran, guni plastik besar mengandungi kepingan tembaga.

“Turut dirampas satu buku catitan jual beli barangan, sebuah lori jenis Hino warna putih, anak kunci lori jenama Hino serta sebuah tong roro RORO kosong warna biru,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Premis terbabit pernah diserbu awal tahun lalu atas kesalahan sama, malah pertuduhan sudah dibuat ke atas pemilik premis tetapi mereka masih meneruskan perniagaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekenhend, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 39(b) Akta Imigresan (bekerja tanpa permit sah) dan Seksyen 55B Akta Imigresen (menggaji pekerja tanpa permit sah).

“Kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman empat hari bermula hari ini dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");