Perak Hari Ini

Sekira Diterima, Tak Pasti Kedudukan Muhyiddin Dalam Muafakat Nasional – Mukhriz

TANJUNG MALIM – Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan kedudukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya parti itu diterima untuk menyertai Muafakat Nasional.

Hal ini katanya Bersatu adalah sebuah parti ‘bongsu’ jika mahu dibandingkan dengan parti lain dalam gabungan itu seperti UMNO dan PAS.

“Kebiasaannya Perdana Menteri adalah pengerusi kepada sebuah gabungan politik yang besar.

“Tetapi saya tidak tahu adakah Muafakat Nasional akan bersetuju mengangkat beliau sebagai pengerusi gabungan itu.

“Walhal Bersatu adalah ‘adik bongsu’ jika ianya diterima dalam gabungan Muafakat Nasional, sekiranya diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi beramah-mesra dengan penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim di Arked Medan Arked MARA Slim River, di sini, hari ini.

Hadir sama calon Bebas Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Slim yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Pagi tadi, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri dilaporkan berkata Bersatu telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

Mengulas tentang PRK Dun Slim, Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata jentera partinya akan menggembleng tenaga bagi memastikan Amir Khusyairi menang.

“Mungkin disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi kita tidak boleh melakukan kempen cara lama.

“Namun kita akan cuba berjumpa dengan seramai mungkin pengundi di sini dan menerangkan wadah perjuangan parti baharu kita ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");