Berita Hari Ini
Like

Rakyat Tidak Faham Hari Malaysia Punca Sambutan Lesu

September 15, 2020
171 Views
0 Comments
3 minutes read
Rakyat Tidak Faham Hari Malaysia Punca Sambutan Lesu

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memikirkan strategi untuk menyebarkan aura sambutan Hari Malaysia ke seluruh negara berikutan persepsi berbeza antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Ini kerana, ramai antara kita tidak sedar bahawa 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Malaya, bukanlah tarikh pembentukan Malaysia manakala Sarawak mendeklarasikan kemerdekaan pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pada 31 Ogos 1963.

Kedua-dua sambutan ini mempunyai konteks yang berbeza, kata Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H. Puvaniten.

Menurutnya, sejarah adalah fakta yang harus diperjelaskan bagi memastikan generasi muda memahami dan mendalami matlamat pembentukan Malaysia.

”Sejauh manakah rakyat kita memahami konteks ini?

”Perkara ini harus dititikberatkan kerana ia membabitkan unsur sejarah. Selalunya sambutan Hari Malaysia 16 September tidak ada perayaan yang diraikan kerana tidak pernah nampak sebarang sambutan peringkat negeri di mana-mana lokasi di Semenanjung apatah lagi berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Puvaniten menambah, sewajarnya Hari Malaysia wajib dirayakan di semua negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah tarikh penting penubuhan Malaysia.

Malah, wacana ilmiah mengenai sejarah dan pembangunan Sabah dan Sarawak pada zaman pasca kemerdekaan perlu ditingkatkan kerana isu ini sangat sepi dan lesu.

”Untuk memastikan tarikh keramat itu diingati rakyat negara ini secara keseluruhannya, tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan yang selama ini hanya digilirkan antara Sabah dan Sarawak perlu sekali sekala dibawa ke Semenanjung, mungkin ke Kuala Lumpur, Putrajaya, atau negeri lain di Semenanjung.

”Ramai rakyat Semenanjung Malaysia juga tidak tahu perbezaan cabaran Sabah dan Sarawak serta keadaan yang mempengaruhi mereka menyertai Persekutuan Malaysia,” jelasnya.

Sedangkan, tanggal 16 September yang diisytiharkan Hari Malaysia ialah kesinambungan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos sejak 1957 dan sebagai rakyat Malaysia kita harus memahami bahawa kedua buah negeri Sabah dan Sarawak hanya dikira merdeka selepas tarikh tersebut.

Ujar beliau, pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia telah dibentuk dengan penyatuan bersama Sabah dan Sarawak.

Apa yang disambut pada Hari Merdeka di Semenanjung adalah berbeza dengan orang-orang Sarawak dan Sabah, justeru, sebelum 16 September 1963 tidak ada negara bernama Malaysia, yang ada cuma Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Malaya dan Singapura serta sewajarnya 16 September diterima dan dirayakan setiap rakyat Malaysia.

”Untuk sekian lama kita hanya berbangga dengan tanggal 31 Ogos dan sudah tiba masanya naratif dan penulisan sejarah di negara kita dicorak oleh perkembangan dan pemikiran politik-ekonomi pasca kemerdekaan tanpa meminggirkan kepentingan 16 September,” katanya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat

Comments are closed.