Perak Hari Ini

COVID-19: Perak Tidak Tolak Kemungkinan Akan Ada Lagi Sekolah Ditutup

IPOH – Beberapa sekolah di Perak mungkin akan ditutup berikutan peningkatan kes positif COVID-19 yang membabitkan kalangan murid sekolah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata berkemungkinan dua ke tiga buah sekolah di negeri ini yang sedang dalam pertimbangan untuk ditutup sementara. 

“Berkemungkonan ada dua ke tiga buah sekolah yang mungkin akan berdepan penutupan sementara. 

“Cuma ia tidak boleh diwar-warkan secara terbuka kerana kita bimbang akan ada perasaan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya. 

Untuk rekod setakat ini, sebanyak 11 sekolah di Perak telah ditutup selama tujuh hari akibat penularan kes jangkitan wabak COVID-19 kalangan murid dan guru.  

Terbaru, SMK Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang, Kerian ditutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Oktober depan. 

Mengulas lanjut, Razman berkata, setiap sekolah terlibat diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh penutupan dari tujuh hari ke 14 hari sekiranya masih mempunyai potensi kepada penularan wabak. 

“Ikut Majlis Keselamatan Negara (MKN), tempoh sekolah ditutup adalah 7 hari sahaja dan sekiranya negatif ia perlu dibuka.

“Namun sekiranya ada potensi lagi ke arah itu (positif), maka boleh disambung lagi seperti yang berlaku di SK Lekir di Sitiawan yang dilanjutkan 7 hari lagi sehingga 26 Oktober depan,” katanya.

Terdahulu Razman merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.

Mengluas tentang My Healthy Garden, Razman berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan RM100,000 bagi projek tersebut membabitkan 24 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri. 

Jelasnya, menerusi program tersebut setiap sekolah akan dibekalkan dengan set ‘Hygrowpot Linktech Type-R 28 (HLT)’ yang merupakan kombinasi teknik fertigasi dan hidroponik membabitkan tumbuhan seperti sayur-sayuran serta tanaman herba.

“Progam ini telah bermula sejak awal September lalu dan merupakan yang pertama di Perak. 

“Ia akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah lagi dalam usaha melatih murid menjadi ajen penyampai maklumat tentang gaya hidup sihat bagi mewujudkan komuniti yang sihat dan bersih,” katanya. 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");