Panasnya Hari Ini
Like

Kerajaan PN pun patut henti tindakan politik, kata Mahathir

October 26, 2020
221 Views
0 Comments
2 minutes read
Kerajaan PN pun patut henti tindakan politik, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad berkata ketika ahli politik pembangkang menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong, pihak kerajaan juga sepatutnya menghentikan tindakan politik ke atas pihak yang bertentangan.

Menurut bekas perdana menteri itu, antara langkah yang patut dihentikan ialah seperti melucutkan jawatan orang politik yang tidak menyokong kerajaan, menghentikan peruntukan wakil rakyat pembangkang atau membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan pihak terbabit.

Tambah Mahathir langkah lain yang perlu dihentikan kerajaan sekarang ialah memaksa pilihan raya diadakan untuk menjatuhkan kerajaan, serta menolak pendaftaran parti politik baru seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“[…] dan bermacam lagi tindakan politik seperti sogokan wang dalam pilihan raya,” katanya.

Menurut tokoh yang mengasaskan Pejuang itu lagi partinya menyambut baik nasihat Agong supaya orang politik mengurangkan politik.

Mahathir berkata demikian melalui hantaran terkini blognya petang ini.

Ia adalah kenyataan pertama ahli parlimen Langkawi itu selepas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Agong juga mengingatkan semua ahli politik agar menghentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. 

Cadangan untuk mengisytiharkan darurat itu dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pendirian itu – yang dibuat selepas baginda mengadakan mesyuarat dengan raja-raja Melayu – dilihat sebagai kegagalan pentadbiran Muhyiddin yang dikecam pembangkang sejak menyertai Langkah Sheraton untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) akhir Feb lalu.

Beberapa parti pembangkang menyatakan kesediaan mereka memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Mahathir berkata Pejuang akan tetap patuh kepada nasihat Agong agar politik di negara ini menjadi stabil.

“Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak Covid-19,” katanya.-Mkini

Comments are closed.