Sukan Hari Ini
Like

Perak Ada Azimat Berdepan Kedah

October 9, 2020
309 Views
0 Comments
2 minutes read
Perak Ada Azimat Berdepan Kedah

MORAL pemain Perak berada pada tahap menakjubkan menjelang perlawanan penentuan tempat kedua saingan Liga Super 2020 berdepan Kedah pada Ahad ini, kata ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Aksi di Stadium Perak, Ipoh, itu adalah perlawanan terakhir kedua-dua pasukan, dalam melengkapkan keseluruhan hanya 11 aksi Liga Super musim ini susulan pandemik Covid-19, dengan Perak kini mengumpul 18 mata di kedudukan ketiga dan dipisahkan satu mata dengan Kedah di tempat kedua.

Berbekalkan momentum positif yang dibina dalam pertembungan menentang Pahang Sabtu lepas dan kemenangan dalam tiga aksi terdahulu, Durakovic berharap ia mampu menjadi azimat buat barisan anak-anak buahnya menghadapi skuad Lang Merah.

“Moral pemain buat masa ini berada pada tahap menakjubkan ditambah dengan semangat yang mereka tampilkan ketika mampu bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum seri 3-3 berdepan Pahang.

“Jadi, saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada pemain walaupun sedar hanya kemenangan akan membawa kami berada di tempat kedua, kerana mereka telah memberikan segalanya dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Perak bakal dikuatkan dengan kehadiran penyerang import, Guilherme de Paula, yang dijangka sempat pulih daripada kecederaan pangkal paha menjelang aksi tersebut, namun terpaksa beraksi tanpa kelibat ketua pasukan Shahrul Saad ekoran penggantungan perlawanan.

“Agak merumitkan perancangan saya kerana dia (Shahrul) antara tonggak terpenting di bahagian pertahanan. Cuma apa yang menggembirakan, de Paula semakin positif dalam latihan dan peluangnya kini 50-50 untuk diturunkan bagi bertemu Kedah.

“Saya tidak mahu berasa terlalu gusar kerana di akhirnya bola sepak adalah sukan berpasukan dan apa yang paling penting, bagaimana pemain saya beraksi antara satu sama lain pada perlawanan itu nanti,” kata pengendali berusia 54 tahun itu.

Pada saingan musim 2019, Perak menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima, sementara Kedah keempat.

Pasukan yang menduduki tempat kedua saingan Liga Super musim ini, akan meraih slot ke saingan Piala AFC musim 2021. – Bernama

Comments are closed.