Perak Hari Ini

‘Rakyat Sudah Tak Lalu Tengok Siapa Lagi Angkat Sumpah’ – Ahmad Faizal

IPOH – Rakyat tidak berminat dengan mana-mana pihak yang secara berterusan memomokkan isu politik sehingga menggugat kestabilan negara.

Sebaliknya rakyat kini mengharapkan usaha ke arah pemulihan ekonomi di saat negara sedang menghadapi ancaman penularan COVID-19 yang kian meruncing.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata semua pihak harus bersama-sama menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi situasi getir akibat pandemik itu.

“Saya berharap tidak ada lagi pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan dan saya fikir rakyat juga berpandangan sama. Rakyat sudah tidak lalu atau letih untuk tunggu depan Istana, depan televisyen untuk tengok siapa yang akan angkat sumpah dan sebagainya.

“Saya kira semua orang termasuk Datuk Seri Anwar, marilah kita bersama-sama cari jalan untuk beri sokongan kuat kepada Tan Sri Muhyiddin untuk beliau terus bantu rakyat.

“Masa Ini bukan kerja untuk kita pecahbelahkan sesiapa sebaliknya pada waktu ini kita harus bersatu menghadapi musuh yang lebih kuat dan boleh membunuh itu COVID-19. Ini yang perlu diselesaikan dahulu, dan selepas ini kalau mahu berpolitik, berpolitiklah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) antara Digital Perak Corporation Holdings dengan empat syarikat swasta di Hotel Weil, di sini, hari ini.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu dilaporkan berkata beliau akan mempersembahkan senarai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya membentuk kerajaan kepada Baginda seperti dinyatakan pada sidang medianya pada 23 September lalu.

Pada masa sama timbul pula spekulasi yang mendakwa ada beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO yang memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu susulan timbul dakwaan berlaku pergeseran antara UMNO dan BERSATU.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata hubungan antara BERSATU dan UMNO yang bersama-sama dalam kerajaan Perikatan Nasional sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun negeri masih baik.

“Semalam ketika mesyuarat EXCO, kami bersemangat untuk terus membantu rakyat dalam menangani isu-isu COVID-19.

“Jadi saya tak nampaklah ada masalah, setakat ini yang saya pasti, kerajaan yang mempunyai majoriti sekarang masih menjalankan kerja seperti biasa,” kata beliau.

Malah tambahnya sekiranya Anwar mendakwa beliau sudah mempunyai jumlah majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu ianya perlu dibuktikan di Parlimen ataupun kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Terpulang kepada beliau namun saya harap semua rakyat dapat fokus kepada apa yang kita sedang usahakan ini.

“Jika ada pihak berminat untuk berpolitik sepanjang masa, biarkan mereka tetapi jangan kita terikut-ikut. Ini kerana apa juga usaha untuk tidak menstabilkan negara ini adalah usaha yang akan merosakkan negara,” ujar beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");