Perak Hari Ini

Saya Tidak Fikir UMNO Akan Tarik Sokongan PN – Ahmad Faizal

IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) , Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan UMNO tidak akan menarik diri daripada menyokong gabungan politik Perikatan Nasional (PN).

Katanya sekiranya berlaku, ia tidak akan memberi kerugian kepada parti itu mahupun masyarakat Melayu yang diwakili mereka.

“Saya tidak fikir UMNO akan tarik balik sokongan. Kalau tarik balik, ia tidak akan memberi kelebihan kepada ahli UMNO dan orang Melayu yang mereka diwakili.

“Saya tidak fikir mereka akan buat sesuatu yang merugikan mereka dan golongan yang mereka wakili. Ini pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Inovasi 2020 Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Kelmarin Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata partinya membuat pertimbangan untuk menarik kembali sokongan terhadap PN.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang pendirian BERSATU, Ahmad Faizal berkata ianya mungkin akan dibuat dalam satu perjumpaan kelak selepas Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin tamat menjalani kuarantin kendiri 14 hari.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yakin sebilangan besar pemimpin dalam Muafakat Nasional (MN) berpandangan untuk tidak berpecah sebaliknya terus bersatu dalam memastikan kestabilan negara dan menangani penularan COVID-19.

Tegasnya perkara asas yang harus dilaksanakan ketika ini adalah termasuk membangunkan semula ekonomi negara dan rakyat yang terjejas.

Tambahnya beliau mengakui kini adalah masa untuk semua pemimpin untuk kurang ‘bercakap’ dan terus berkhidmat kepada rakyat.

“Walaupun ada sebilangan kecil pemimpin yang mungkin berpandangan berbeza namun, saya kira semua faham tentang hal ini.

“Saya kira secara umumnya rakyat telah memberikan mesej yang jelas kepada pemimpin dan tentunya mereka faham bahawa rakyat tidak mahukan perpecahan dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya lagi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");