Berita Hari Ini

Felda Tunggu Masa Jual Aset Luar Negara

KUALA LUMPUR: Pengurusan tinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih menunggu masa yang sesuai untuk menjual aset mereka di luar negara.

Harian Metro melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak berkenaan sedang menunggu harga yang munasabah untuk menjual aset Felda di luar negara.

“Aset di luar negara Felda tunggu masa yang sesuai untuk dijual dalam harga munasabah.

“Tanggungjawab pengurusan Felda dan peneroka penting dalam memastikan pelan pemulihan dan tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai inisiatif kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan juga hutang Felda.

Mustapa berkata, terdapat tiga pihak bertanggungjawab dalam memastikan pelan pemulihan Felda iaitu kerajaan, Felda dan peneroka.

“Kerajaan meluluskan penerbitan sukuk RM9.9 bilion dan ini membabitkan bayaran balik sebanyak RM1 bilion setahun.

“Ini tanggungjawab kerajaan yang besar, bantuan yang diberikan kerajaan dalam tempoh 10 tahun bagi memastikan kemampanan kewangan Felda,” katanya.

Mustapa berkata, Felda mula berdepan dengan masalah kewangan sejak 2013 apabila menghadapi kerugian dan pendapatan sebelum cukai yang semakin merosot.

“Ini disebabkan antara lain, penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 2012 apabila Felda kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

“Bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan dengan lancar, Felda terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion.

“Pada September tahun ini, Felda memaklumkan kerajaan ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahmad Nazlan di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium selama dua tahun kepada Felda untuk salah satu daripada hutangnya dan sebuah institusi yang lain memberi Felda moratorium selama enam bulan.

“Di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

“Bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, jemaah menteri pada 14 Oktober lalu meluluskan pelan pemulihan Felda dengan syor yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion yang mana RM6 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda dan bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta melaksanakan penamatan Perjanjian Pajakan Tanah,” katanya.

Katanya, bagi memastikan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dicapai, Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda ditubuhkan dengan dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan memantau pelaksanaan langkah ini dengan rapi supaya ia dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar.

“Langkah pemulihan ini dijangka membawa hasil positif ke atas Felda pada 2023.

“Ini bagi memastikan Felda mencapai kejayaan seperti syarikat perladangan utama yang lain dan berada di landasan yang lebih teguh bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai agensi yang membela nasib lebih daripada 100,000 keluarga peneroka tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");