Berita Hari Ini

Kartel Daging: Beri Kepercayaan Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan

JOHOR BAHRU – Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM) menyeru rakyat Malaysia bertenang dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengheret semua yang terlibat isu kartel daging import haram ke muka pengadilan.

Sinar Harian melaporkan Presiden SPPM, Normala Sudirman mahu rakyat tidak terlalu cepat menghukum atau melontar spekulasi negatif terhadap pihak berkuasa kerana siasatan masih lagi berjalan.

“Tambahan pula perkara ini melibatkan banyak pihak, perkembangan kes ini sudah mula bergerak apabila dakwaan sudah mula dilakukan di mahkamah, ini akan mengambil masa, semua pihak perlu bersabar.

“Siasatan juga sedang dilakukan terhadap penjawat awam, pegawai kerajaan atau penguat kuasa agensi dalam kerajaan sekiranya didapati bersekongkol dengan kartel daging import haram ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu tambah Normala, SPPM faham kebimbangan masyarakat apabila dimaklumkan kartel ini telah beroperasi di pasaran tempatan selama 40 tahun.

“Sejak akhir-akhir ini, masyarakat semakin bimbang untuk menikmati masakan berasaskan daging ekoran isu kartel daging sejuk beku import ini dan perkara itu berasas,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya juga berharap kerajaan akan dapat memperketat prosedur melibatkan pengimportan daging sejuk beku halal ke negara ini bagi mengelakkan jenayah sama berulang.

“Prosedur, pelaksanaan dan penguatkuasaan perlu diperkasa bagi memastikan semua daging import mematuhi piawaian halal ditetapkan sekaligus turut menjamin kebersihan dan keselamatan pengguna.

“Dalam masa sama, kami turut menyeru pemain industri ternakan tempatan untuk mempertingkatkan penghasilan dan pembekalan daging yang dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");