Berita Hari Ini

Masih kurang kesedaran kes lemas

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Air Negara yang bakal ditubuhkan perlu berperanan secara holistik dan komprehensif bagi membendung kes-kes kemalangan air seperti lemas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerangka fungsi majlis tersebut perlu merangkumi strategi jangka pendek dan panjang yang sesuai diaplikasikan di negara ini.

Beliau berkata, kes lemas adalah satu perkara yang membimbangkan dan masih kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat dan diharapkan dengan penubuhan majlis ini, kes lemas ini akan dapat diatasi.

“Fungsi majlis ini antaranya adalah menggalak serta meningkatkan kemahiran individu terutama pelajar berenang sebagai kemahiran hidup kritikal, di samping kemahiran menyelamat,” katanya selepas melancarkan buku terbaharunya bertajuk, Melalui Kaca Mata Saya, semalam.

Beliau turut mengharapkan agar badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia turut berada dalam majlis tersebut.

“Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sudah tentu, kepakaran dan peranan persatuan itu penting dalam membantu majlis tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Lam Thye sering membangkitkan keperluan menubuhkan majlis itu sebelum Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan kertas cadangan berhubung pembentukannya akan dibentangkan untuk kelulusan Kabinet pada Januari depan.

Sementara itu, mengulas mengenai buku terbaharunya itu, beliau berkata, buku tersebut adalah himpunan nukilan yang telah disiarkan di dada akhbar yang memaparkan pandangan dan pemerhatian beliau terhadap isu semasa yang dihadapi negara dari 2011 hingga tahun ini.

“Ia banyak berkisar mengenai pandangan mengenai pembangunan modal insan, integrasi kaum, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pencegahan jenayah, kesihatan mental, pendermaan organ dan pelbagai isu semasa.

“Pandangan saya adalah relevan dalam konteks pembangunan negara dan masyarakat hari ini serta pencapaian Wawasan 2020,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");