Sukan Hari Ini

MSSP ‘dahaga’ pingat

Kuantan: Berada di kedudukan tiga terbaik keseluruhan menjadi matlamat utama kontinjen Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) yang akan bersaing dalam 14 acara pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini.

Persiapan jangka panjang dilakukan bersama barisan atlet berkualiti menguatkan lagi keyakinan mereka untuk mencatat keputusan membanggakan.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Pahang Mohd Rauf Jali berkata, beberapa acara dikenal pasti mampu memberikan sumbangan pingat kepada kontinjen.

Katanya, selain bola tampar yang menyaksikan Pahang bergelar tuan rumah, kontinjen bola jaring yang beraksi di Melaka turut menjanjikan keputusan membanggakan seperti dilakukan tahun lalu.

Beliau berkata, MSSP turut berkeyakinan beberapa acara lain dapat melakukan kejutan walaupun harapan yang diletakkan tidak begitu tinggi berikutan prestasi terumbang-ambing sebelum ini.

“Saya berharap atlet dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada aksi terbaik dengan matlamat untuk merangkul emas, pada masa sama jurulatih perlu memikirkan kaedah terbaik menjinakkan lawan.

“Dengan semangat tinggi dan kesungguhan atlet, saya yakin MSSP mampu meraih kejayaan membanggakan seterusnya dapat mengubah episod suram sebelum ini,” katanya selepas majlis penyerahan bendera kepada pasukan bertanding di sekretariat MSSP Indera Mahkota, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Teknik Bola Jaring MSSP Norsiha Wan Abdullah berkata, musim lalu pasukan bawah 12 tahun meraih emas, manakala pingat perak berpihak kepada pasukan bawah 15 dan 18 tahun.

“Saya berharap pencapaian lebih baik dapat dilakukan pasukan bawah 12, 15 dan 18 tahun, prestasi pemain yang kini berada di kemuncak diharap menjadi kelebihan kepada mereka untuk menjinakkan lawan.

“Saingan dalam acara bola jaring datang dari pasukan Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sarawak. Justeru, persiapan lebih sebulan dilakukan diharap mencetuskan kejayaan membanggakan buat MSSP,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");