Membawang Hari Ini

PU Riz Jadi ‘Hero’ Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Bekas peserta Pencetus Ummah (PU) musim keempat, Riz Ismail, kini melebarkan sayap dalam kerjaya seninya ke negara seberang, Indonesia.

Bermula dengan penyertaannya dalam program pencarian pendakwah dikenali sebagai Akademi Sahur Asia atau singkatannya AKSI Asia 2017 yang turut membabitkan penyertaan wakil dari Singapura, Indonesia dan Brunei, Ramadan lalu, laluannya di negara itu semakin terbentang luas.

Menurut BH Online, biarpun tidak menjuarai rancangan realiti itu, pembabitan beliau dalam program itu membuka mata beberapa produser di sana untuk melamarnya berlakon.

“Selepas tamat perjalanan pada AKSI Asia 2017, saya ditawarkan berlakon empat telefilem di sana. Malah, saya turut diberikan peranan utama dalam sebuah telefilem berjudul Permintaan Suami Terakhir Di Bulan Ramadan.

“Pada masa sama, saya juga mula mengumpul peminat yang agak ramai di negara itu. Selama kira-kira dua minggu berada di sana, pengikut Instagram saya bertambah 10,000 orang.

“Malah, kelab peminat saya pun dicetuskan di sana. Begitupun, saya harus berterima kasih juga kepada peminat dari Malaysia yang turut memberikan sokongan,” katanya yang tidak terfikir untuk menjadikan Indonesia sebagai pangkalan utamanya buat masa sekarang.

Dalam perkembangan lain, Riz kini tidak sabar menunggu siaran drama, Kelip Kelip Kota London, terbitan Zeel Productions.

Drama arahan Murali Abdullah itu bakal disiarkan menerusi portal Tonton pada bulan depan, diikuti tayangannya menerusi slot Zehra TV3 sekitar hujung tahun.

Dalam naskhah terbabit, beliau memegang watak pembantu, Daniel, bergandingan dengan bintang utama, Hafidz Roshdi.

“Kelip Kelip Kota London bukanlah pengalaman pertama saya berlakon di bawah produksi terbabit. Sebelum itu, saya pernah juga menjayakan watak tambahan dalam telefilem, Jatuh Cinta, dan Dosa Perempuan di bawah syarikat penerbitan sama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");