Jenayah

422 Telekung Siti Khadijah Tiruan Dirampas

SENAI: Sebanyak 422 telekung tiruan yang menyalahgunakan logo jenama Siti Khadijah bernilai RM37,980 dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor di sebuah premis di Taman Nusa Bestari, Skudai, kelmarin

Ketua Penguatkuasa Negeri, Khairul Anuar Bachok berkata, hasil siasatan lanjut mendapati premis berkenaan menjual telekung berkenaan secara atas talian.

Katanya, serbuan dijalankan susulan risikan selama seminggu dan kesemua barangan berkenaan disita mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi siasatan lanjut.

“Serbuan turut dijalankan bersama wakil pemilik jenama Siti Khadijah dari syarikat Global Trade Shiela selepas pemantauan dan risikan dijalankan selama seminggu.

“Premis ini didapati menjual telekung menggunakan logo Siti Khadijah yang disyaki tiruan dan dijual secara atas talian pada harga lebih murah berbanding produk asli,” katanya dalam sidang media di stor KPDNKK Senai di sini, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Khairul Anuar berkata, ketika serbuan dilakukan pemilik premis tidak berada di lokasi dan hanya terdapat seorang pekerja lelaki warga Libya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti punca bekalan barangan berkenaan diperolehi dan pihaknya percaya bekalan yang dirampas adalah untuk diedarkan di bagi pasaran tempatan dan luar negeri.

Kesalahan membabitkan barangan tiruan boleh didenda RM10,000 bagi setiap perihal dagangan palsu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");