Isu Panas

Parlimen: Pandikar Amin ‘Naik Angin’

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini membidas sikap wakil rakyat pembangkang yang mencabarnya meletak jawatan jika keputusan dibuat tidak memihak kepada mereka.

Katanya, keputusan menolak usul dikemukakan wakil rakyat dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat yang ditafsir secara adil, malah beliau tidak berkewajipan mengemukakan alasan panjang lebar terhadap penolakan itu.

“Saya sering diminta membuat ‘ruling’ (keputusan) tetapi setiap kali saya membuat ‘ruling’ dan ‘ruling’ itu berkenan di hati, ia tidak menjadi masalah kepada Yang Berhormat itu tetapi jika ‘ruling’ itu tidak menepati cita rasa, ada Yang Berhormat tergamak untuk membuat kenyataan di luar dan mencabar saya meletak jawatan.

“Saya masih ingat di satu ketika ada ‘ruling’ daripada Tun Zahir (bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail) apabila beliau menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan Ahli Yang Berhormat berkenaan jika saya tidak silap, Batu Gajah membuat kenyataan tidak bersetuju dengan ‘ruling’ dan beliau diambil tindakan kerana menghina dewan dan Speaker.

“Sekarang ini bukan saja tidak ikut arahan ‘ruling’ Speaker, malah mencabar Speaker letak jawatan.

“Mudah-mudahan saya panjang umur, manalah tahu aspirasi Yang Berhormat yang duduk sebelah kanan saya ini nanti, kalau ada Speaker duduk di atas ini dan ada orang mencabar Speaker melepaskan jawatan jika ‘ruling’ tidak mengikut selera Yang Berhormat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Charles Anthony Santiago (DAP-Klang), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), G Manivannan (PKR-Kapar) dan Hanipa Maidin (PAN-Sepang) berhubung penolakan usul dikemukakan mereka.

Pertikaman lidah antara Pandikar Amin dan Ahli Parlimen pembangkang itu berlangsung lebih 15 minit sebaik sesi soal jawab dan waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) berakhir jam 12 tengah hari.

Ia bermula apabila Anthony mempersoalkan keputusan Pandikar Amin yang menolak untuk membahaskan usul mengenai kemiskinan bandar di ibu negara dan Putrajaya.

Tindakan Anthony yang cuba bangun beberapa kali untuk mempertikaikan penjelasan itu menimbulkan kemarahan Pandikar Amin.

“Kalau terima daripada saya satu ‘ruling’ secara bertulis, kalau Yang Berhormat protes juga dan berdiri seperti ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan… cubalah berdiri lagi sekali,” kata Pandikar Amin.

Amaran itu tidak menghentikan tindakan Anthony untuk terus bangun sehinggalah Pandikar Amin mengeluarkan kenyataan dengan nada lebih tegas: “Ahli Yang Berhormat, mahu saya rehatkan?”

Dalam reaksi terhadap kenyataan Manivannan yang cuba membantah, Pandikar Amin kemudian menegaskan apabila keputusan sudah dibuat sama ada secara lisan atau bertulis dalam kamar, ia adalah muktamad.

“Peraturan Mesyuarat ini bukan saya yang buat, ia sudah berada di sini (Dewan Rakyat) bila saya mula jadi Speaker dan sehingga kini, saya tafsirkan Peraturan Mesyuarat mengikut seadil-adilnya. Seolah-oleh mereka punya pendapat itu tuntas yang mesti diikuti, kalau tak ikut tak boleh.

“Tindakan itu juga seolah-olah mereka ada lesen besar sedangkan yang ada lesen besar ialah Speaker yang terkandung dalam Peraturan Mesyuarat 41, 42, 43 dan 44… tak payah Speaker bagi alasan panjang lebar (jika menolak usul),” katanya sebagai reaksi terhadap persoalan dibangkitkan Chieng Jen, Tze Tzin dan Hanipa.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");