Jenayah

42 Dipenjara Setahun, 14 Mengaku Tidak Bersalah, Seorang Lepas

KAJANG: Seramai 57 lelaki yang didakwa menganggotai ahli kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan dibawa ke Penjara Kajang pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan pindaan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Kesemua tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), menjalani prosiding di dewan kompleks penjara berikutan terdapat isu keselamatan.

Pada prosiding yang bermula pada jam 10.10 pagi, pemberita yang dibenarkan membuat liputan oleh pihak penjara, hanya mengikuti prosiding melalui tayangan projektor manakala jurugambar hanya dibenarkan berada di pintu pagar utama kompleks penjara.

Sebaik tuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan, 42 tertuduh yang memakai baju penjara oren dan hijau serta berpakaian biasa, mengaku salah menjadi anggota ‘Geng 36’ iaitu pertubuhan menyalahi undang-undang.

Mereka yang berusia antara 23 dan 63 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di alamat MV Empayer Sdn Bhd, di No 1, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini, di antara tahun 2013 dan 2017.

Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh ditangkap iaitu sejak tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Abd Halim Aman dalam penghakimannya, menasihati kesemua tertuduh supaya insaf dan tidak lagi membabitkan diri dalam pertubuhan yang menyalahi undang-undang

“Ketika membuat rayuan, kebanyakan mereka (tertuduh) cakap sudah insaf dan tidak akan ceburi lagi (kesalahan sama). Jika keinsafan ini jujur, ia adalah untuk kebaikan sendiri.

“Masa depan mereka cerah…kebanyakan tertuduh adalah warga emas. Nasihat saya pada anda supaya insaf,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, seramai 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah manakala seorang lagi dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, menarik balik kes terhadapnya.

Semua tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika bersabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");