Perak Hari Ini

Kajian Merdeka Centre: Kerajaan PH Perlu Sedikit Masa – Ahmad Faizal

TAPAH: Dalam usaha membangunkan negara ini yang selari dengan hasrat ‘Malaysia Baharu’, kerajaan masa kini memerlukan sedikit tempoh masa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata hal ini kerana kebanyakan wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) masih lagi baharu dalam arena pentadbiran.

Jelasnya hasil kaji selidik Merdeka Centre yang mendapati sokongan rakyat kepada PH semakin menurun juga kemungkinan daripada perasaan tidak sabar mereka kepada pentadbiran kerajaan pimpinan PH hari ini.

Baru-baru ini agensi kajian tersebut berkata sokongan rakyat kepada kerajaan sedia ada mula merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei 2018, kepada 39 peratus pada 31 Mac 2019.

“Kita kini berhadapan dengan permasalahan yang diakibatkan daripada dasar oleh pentadbiran sebelum ini.

“Oleh sebab itu kerajaan pimpinan PH memerlukan sedikit masa untuk memperbetulkan keadaan. Dan apabila ia berjaya, ketika itulah rakyat merasai perubahan yang sebenar,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak berkata beliau dan kepimpinan yang ada kini juga turut berkeinginan untuk melakukan beberapa perubahan dalam negara, dengan kadar segera selain menyatakan tiada masalah dengan hasil kajian Merdeka Centre itu.

Namun jelasnya semua sedar bahawa untuk berusaha ke arah itu ia memerlukan sedikit masa dan ruang bagi menyelesaikan masalah-masalah yang terdapat dalam negara ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Kad Perak Prihatin di Dewan Merdeka Tapah, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak merangkap ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.

Dalam program sama, seramai 882 orang daripada Daerah Batang Padang telah menerima kad tersebut.

Difahamkan, para penerima kad itu akan menerima pembiayaan sebanyak RM80 sebulan untuk pembelian makanan asas dan RM300 untuk rawatan di klinik-klinik panel untuk tempoh setahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");