PUTRAJAYA: “Anda (wartawan) patut tanya Perdana Menteri.” Itu jawapan ringkas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung desas-desus mengenai rombakan Kabinet yang bakal diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan sama ada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan berpindah ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Muhyiddin ditemui media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor di ibu pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut laporan sebuah portal berita hari ini, dalam rombakan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bakal digugurkan daripada Kementerian Kewangan dan berpindah ke portfolio baharu.
Bagaimanapun, portfolio baharu Guan Eng dan Muhyiddin tidak dinyatakan.
Sebelum ini, khabar angin mengatakan Perdana Menteri mungkin akan melakukan rombakan dalam barisan Kabinetnya selepas Aidiladha.