Berita Hari Ini

PM ucap Selamat Hari Wesak

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut Buddha di seluruh negara.

Perdana Menteri yakin penganut Buddha akan tetap dapat memperingati Hari Wesak bersama keluarga, meskipun perlu menyambutnya dalam suasana mencabar ketika ini, berikutan penularan wabak COVID-19.

“Saya faham bahawa Hari Wesak kali ini disambut dalam keadaan yang mencabar oleh kerana kita sedang menempuh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam usaha kita memerangi wabak COVID-19.

“Tetapi, saya percaya bahawa saudara saudari penganut agama Buddha akan tetap dapat memperingati Hari Wesak bersama-sama ahli keluarga.

“Sambutan ini sudah tentu akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain dapat mencegah jangkitan COVID-19 yang sedang mengancam kehidupan normal kita,” katanya dalam video ucapan yang dimuat naik di Facebook rasminya sempena sambutan Hari Wesak, esok.

Muhyiddin menyifatkan perayaan Hari Wesak itu membuktikan prinsip dan amalan beragama sentiasa dihormati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Hari Wesak adalah waktu untuk semua penganut agama Buddha menghayati nilai toleransi, kasih sayang dan khidmat kepada kemanusiaan, yang terkandung dalam ajaran dan kehidupan Buddha.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak bersama keluarga kepada semua penganut Buddha di Malaysia.

“Semoga kita semua terus hidup bersama-sama dalam kedamaian dan harmoni. Selamat Hari Wesak, Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");