Perak Hari Ini

Kawan Yeop Jalong Akhirnya Dipindahkan

SUNGAI SIPUT: Setelah lebih seminggu akhirnya ‘kawan’ kepada gajah liar Yeop Jalong akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap dalam satu operasi pemindahan haiwan tersebut, hari ini.

Operasi pemindahan gajah jantan yang masuk ke kawasan Kampung Jalong, dekat sini akan dipindahkan ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum Gerik selain ia turut dibantu dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata gajah liar yang telah ditangkap enam hari lalu itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan harta benda dan kecederaan orang awam.

“Berdasarkan maklumat awal, gajah tersebut berusia sekitar 25 ke 30 tahun. Namun masih belum mempunyai nama. Berat haiwan itu dianggarkan sekitar 2.5 tan sehingga 3 tan.

“Diharapkan apabila ia dipindahkan ke habitat asal di Royal Belum, gajah tersebut dapat menyesuaikan diri dengan baik,” katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff.

Sebelum ini PerakToday melaporkan Yeop Jalong dan gajah terbabit telah memasuki ke kawasan Kampung Jalong sejak Mei lalu.

Penduduk setempat mendakwa mamalia darat terbesar itu telah menceroboh dusun dan memakan buah-buahan yang ada di situ termasuk durian yang telah dipungut.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata beliau tidak menolak kemungkinan kehadiran gajah jantan itu ke kawasan kampung itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Piah yang berhampiran.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan gajah tersebut terpisah daripada kawanannya akibat terlalu agresif.

“Berdasarkan perangkaan oleh PERHILITAN Perak, Hutan Simpan Piah mempunyai kawanan gajah yang terdiri daripada 15 ke 20 ekor.

“Salah satu faktor dua ekor gajah jantan itu ke kampung ini berkemungkinan hendak mencari sumber makanan.

“Hal ini kerana gajah-gajah ini ditangkap berhampiran dengan kawasan sekolah yang ada di sini yang mana di belakang sekolah terbabit mempunyai tanaman pokok pisang,” katanya lagi.

Operasi pemindahan gajah melibatkan 11 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang serta 10 kakitangan PERHILITAN Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");